TIPS OF THE DAY
#Bila Anda Lapar
Cuba Minum Air Kerana ia akan mengalihkan emosi lapar kita kepada kenyang
Bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan, minum banyak air
kosong antara jalan terbaik. Air elemen penting untuk membantu meningkatkan
metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak. Untuk
kekal sihat dan bertenaga, setiap orang perlu minum sekurang-kurangnya
lapan hingga 10 gelas air kosong sehari.
Masalahnya ramai orang
keliru antara isyarat ‘lapar’ atau ‘dahaga’. Kekeliruan ini menyebabkan
ada orang mencari makanan setiap kali satu daripada isyarat ini
diterima otak.Akibatnya berat badan bertambah tanpa disedari. Masalah
ini lebih ketara di kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi
kurang sensitif. Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah
kekurangan air dalam badan.
Bagi individu yang turut mengalami
kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali terasa
lapar. Kajian menunjukkan segelas air kosong boleh menghilangkan
kelaparan di tengah malam dan berita baiknya, air tidak mengandungi
kalori. Jadi isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan
sebagai lemak tidak timbul.
Untuk kesan lebih cepat, pakar
pemakanan menyarankan supaya minum setiap kali sebelum makan. Air
membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ini secara tidak langsung dapat
mengelak kita makan banyak.
Pun begitu, jangan sampai tidak makan
kerana badan kita sangat bijak. Jika kekurangan makanan, ia merendahkan
tahap metabolisme untuk menjimatkan pembakaran tenaga.
Malangnya,
tahap metabolisme rendah sukar ditingkatkan semula. Ia kekal bagi tempoh
lama dan tidak meningkat walaupun tabiat makan kembali seperti biasa.
Hasilnya, tenaga yang tidak dibakar daripada makanan disimpan sebagai
lemak dan akhirnya membuat kita bertambah gemuk.
Ingat, air
yang perlu diambil ialah air kosong. Minuman manis mengandungi kalori
kosong iaitu yang tidak diperlukan badan. Apabila disuruh minum sehingga
dua liter sehari, timbul kebimbangan berlaku kesan sampingan terlalu
banyak air. Ada yang mendakwa ia menyebabkan perut berasa kembung.
Satu-satunya kesan sampingan yang dialami ialah kerap berulang ke tandas
dan ia dianggap perkara baik. Secara umumnya kita tidak akan mengalami
masalah ‘terlalu banyak air’ kerana badan secara automatik mengeluarkan
air berlebihan.
Yang lebih kerap berlaku ialah kekurangan air
(dehidrasi). Ramai orang tidak sedar mereka mengalami kekurangan air
yang kronik. Antara contoh kekurangan air yang kronik ialah apabila anda
hanya pergi tandas satu atau dua kali sehari, berasa dahaga, kulit
menjadi kering dan mengalami masalah retensi atau tegasan air.
Retensi air yang menyebabkan perut terasa kembung atau kaki nampak
bengkak adalah tanda kekurangan air, bukan sebab terlalu banyak air.
Kita berasa kembung kerana badan cuba mengekalkan keseimbangan garam
galian. Cara untuk atasi masalah ini ialah dengan minum air secukupnya
iaitu antara lapan hingga 10 gelas sehari. Anda akan dapat lihat
perubahan positif secara perlahan-lahan.
Kekurangan air
menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan dari badan terkumpul
dan lama kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan, contohnya
pembentukan batu karang. Kehilangan hanya dua peratus air boleh
menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur,
sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.
Jadi
usah risau jika anda perlu selalu ke tandas kerana ia antara cara
meningkatkan kepekaan fikiran, khususnya bagi individu yang banyak duduk
ketika bekerja.
Banyak kajian menyarankan kita berhenti rehat
setiap satu atau satu setengah jam. Pergi ke tandas boleh dianggap
sebagai ‘rehat’ yang bukan saja baik untuk membersihkan badan, tetapi
mampu meningkatkan tumpuan fikiran.
No comments:
Post a Comment