Tuesday, April 26, 2011

Blogger patut sambut keterbukaan kerajaan bantu majukan negara



TANGGAPAN umum bahawa kerajaan sekarang khususnya pucuk kepemimpinan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Kerajaan berwibawa diterajui kepemimpinan yang bersedia menerima pandangan rakyat dan mengambil kira sebarang input mereka dalam merangka pelbagai dasar. Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kritikan dan pandangan rakyat tidak wajar dipinggirkan. Persoalannya, sejauh mana kerajaan dapat menerima kritikan dan teguran. Pada masa sama, setakat mana pula rakyat mengetahui had serta batasan dalam mengkritik kerajaan dan pemimpinnya. Hakikatnya, dalam kecanggihan era siber, kerajaan kini tidak lagi mampu mengelak daripada kritikan, terutama oleh media baru atau penulis blog yang dilihat lebih berani dan lantang. Namun, kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak takut dengan pandangan penulis blog terhadap kerajaan yang dipimpinnya membuktikan sifat keterbukaan beliau terhadap kritikan. Najib ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Blogger Malaysia-Rantau ASEAN pertama, kelmarin sebaliknya menyifatkan kritikan membina itu sebagai sesuatu yang wajar. Malah, Najib menyatakan kesediaan menjadi rakan blogger kerana berpendapat pandangan mereka diperlukan bagi membentuk masa depan lebih baik untuk negara dan rakyat.

Kemunculan ketara penulis blog bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) pada 2003. Bermula dari itu kebanyakan penulis blog menjadikan kerajaan sebagai sasaran sehingga PRU12 pada 2008. Kritikan bertali arus oleh penulis blog ketika itu dikatakan antara punca berlaku tsunami politik dan akhirnya menyebabkan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam PRU berkenaan. Justeru, ketika itu kita tidak menafikan orang ramai lebih mempercayai penulis blog, berbanding media dan akhbar arus perdana. Penulis blog begitu agresif menghentam kerajaan, malah penulisan mereka juga lebih condong kepada pembangkang. Rata-rata penulis blog ini akan mengkritik apa saja dasar dibuat kerajaan jika berpendapat ia bertentangan dengan aspirasi rakyat. Apapun, ketika kerajaan bersedia mendengar kritikan, untuk menjadi blogger yang memiliki kredibiliti mereka tidak sepatutnya melemparkan kritikan tanpa fakta dan bukti. Adalah tidak beretika jika tulisan mereka sekadar menghentam kerajaan tanpa asas. Kita mahu penulis blog bertanggungjawab ke atas penulisan mereka. Kita tidak mahu mereka menulis berdasarkan emosi, prasangka dan bersifat rasis sehingga menjejaskan kestabilan negara.
 
Namun, akhir-akhir ini, kita dapati ramai penulis blog menyokong usaha kerajaan, terutama yang dipelopori Perdana Menteri. Kita percaya penulis blog yang sebelum ini dilihat sering mengkritik kerajaan, kini sudah mampu menilai secara rasional usaha dilakukan kerajaan. Mereka mengkritik bukannya disebabkan propembangkang, tetapi kerana melihat sesuatu isu itu secara kritis dan mahu kepincangan yang berlaku diperbetulkan. Kita bersetuju dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa media arus perdana kini perlu sekali-sekala mengkritik kerajaan untuk menyampaikan pandangan sebenar rakyat. Laporan media juga sepatutnya melalui proses transformasi supaya kerajaan tidak hanya mendapat laporan positif dan pujian, sebaliknya diisi dengan teguran dan kritikan membina. Kita yakin dengan pendekatan itu, kerajaan akan mendapat maklumat tepat dan seimbang. Namun, apabila media arus perdana mengkritik kerajaan jangan pula mereka dikenakan tindakan melulu disebabkan pandangan itu tidak memihak kerajaan. Sewajarnya pandangan serta kritikan itu diterima secara positif dan terbuka oleh semua pihak.
 
Dipetik daripada : Minda Pengarang, Berita Harian.

No comments:

Post a Comment